mutakhir

Dua mangsa tertimbus usahakan tanaman kelapa

Oleh Nor Farhani Che Ad

DUA mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Jerai, Gurun petang tadi, didakwa sedang mengusahakan tanaman pokok kelapa di kawasan berkenaan.

Anak mangsa, Mohamad Faizal Md Noor, 44, berkata dia difahamkan bapanya, Md Noor Shaari, 68, sering ke kawasan itu bersama dua rakannya.

“Saya difahamkan abah sering ke situ untuk menguruskan projek tanaman pokok kelapa, namun abah tidak pernah bercerita lanjut berkenaan dengan projek berkenaan.

“Pagi tadi saya ke rumahnya di Taman Cempaka Bukit Selambau, tetapi abah tiada di rumah, ibu kata abah pergi ke kawasan projek berkenaan bersama kawannya yang dikenali sebagai Lan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam ini.

Faizal berkata, bapanya sememangnya seorang yang suka berkebun dan sering mengusahakan tanah kosong untuk tanaman sayur sayuran dan buah-buahan.

Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas diberitahu adik perempuan petang tadi.

“Sehingga sekarang saya masih belum mengetahui keadaan abah, namun berharap operasi mencari dan menyelamat berjalan dengan lancar dan abah segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam kejadian petang tadi, dua mangsa dikhuatiri tertimbus pada kedalaman lebih 12 meter dalam kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Jerai.

Dalam kejadian 6 petang itu, kawasan lereng bukit di kaki gunung itu dikatakan runtuh secara tiba-tiba ketika dua pekerja itu sedang melakukan kerja penggalian di kawasan tapak projek perumahan.

Berita berkaitan

2 tertimbus tanah runtuh Gunung Jerai

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 11:19pm
d