mutakhir

Polis nyaris dilanggar pemandu lari pemeriksaan PKP

Oleh BERNAMA

SEORANG anggota polis nyaris dirempuh sebuah kereta yang bertindak memecut laju selepas ditahan semasa pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan di hadapan sebuah stesen minyak di Kampung Jawa, Jalan Sultan Azlan Shah di Bayan Baru, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam kejadian 5.11 pagi itu, polis menahan sebuah Proton Wira Aeroback warna perak dipandu seorang lelaki dan terdapat seorang penumpang hadapan.

“Ketika seorang anggota polis meminta lesen serta kad pengenalan dua lelaki itu, pemandunya terus memecut kereta untuk lari daripada sekatan itu. Anggota yang sedang memegang lampu baton di hadapan kereta itu sempat mengelak daripada dilanggar,” katanya hari ini.

Katanya, polis berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 36 tahun itu di Balik Pulau dan Georgetown kira-kira 3 petang dan 4.30 petang hari ini.

“Dua lelaki itu yang masing-masing mempunyai 10 dan 11 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah kini direman bagi siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 11:53pm
d