mutakhir

Tangkap peragut rantai emas isteri

Oleh Ruwaida Md Zain

SEORANG lelaki berjaya menangkap salah seorang suspek yang meragut rantai emas milik isterinya dalam kejadian pagi Sabtu lalu di Bukit Tinggi, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian 11.10 pagi itu, mangsa seorang guru berusia 29 tahun dan suami, 31 tahun sedang berjalan kaki dan melintas jalan di hadapan sebuah farmasi di lokasi terbabit.

“Semasa hendak masuk ke dalam kereta milik pengadu, mereka didatangi dua lelaki menaiki motorsikal berasingan dari arah belakang dan terus meragut rantai leher emas milik pengadu dan terus melarikan diri.

“Suami pengadu mengejar suspek terbabit dengan menaiki kereta dan terus melanggar bahagian belakang motorsikal suspek hingga jatuh ke bawah, kemudian berjaya menangkap suspek.

“Seorang lagi suspek yang menaiki motorsikal berasingan datang mengambil ‘padlock’ dan cuba memukul suami pengadu, tetapi berjaya dielak dan suspek melarikan diri selepas orang awam mula berkumpul,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, suspek yang berjaya ditangkap itu dipukul dan tangannya diikat sebelum orang awam menyerahkannya kepada polis.

“Suspek yang berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis itu berumur 25 tahun, bekerja sebagai penjual telefon bimbit dan mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun).

“Polis turut merampas rantai leher emas yang diragut dan suspek tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis turut merampas sebuah motorsikal jenis Yamaha 135 LC, warna hitam, nombor pendaftaran asal (didaftarkan atas nama suspek sendiri) dan nombor pendaftaran palsu yang digunakan adalah DDK 4845,” katanya.

Beliau berkata, polis hingga kini giat mengesan suspek yang melarikan diri dan siasatan masih diteruskan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 12:25pm
d