mutakhir

Bukan rezeki anak saya..

Oleh Redzuan Muharam

“ALHAMDULILLAH, kereta saya sudah ditemui semula walaupun keadaannya tidak sempurna,” kata Mohamad Syafiq Aziz, 24.

Mohamad Syafiq memberi reaksi itu bagi mengesahkan hantaran dimuat naik di Facebook (FB), hari ini mengenai penemuan kereta Proton Wira miliknya.

Menerusi hantaran itu, Mohamad Syafiq meluahkan rasa syukur kerana menemui semula keretanya walaupun keempat-empat tayar dan kelengkapan anaknya yang bakal dilahirkan hilang dibawa lari.

Mohamad Syafiq berkata, kereta itu ditemui di Kampung Telaga Ara Gunong, Bachok, Kelantan pada 10 malam kelmarin.

“Penduduk kampung yang memaklumkan kepada saya mengenai penemuan kereta itu dan sebaik ke lokasi, saya dapati keadaannya tidak sempurna kerana keempat-empat tayar hilang.

“Barangan bayi juga tiada di dalam but. Mungkin ada rezeki lain untuk anak saya.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua sahabat dekat dan jauh termasuk yang tidak mengenali saya kerana membantu mencari serta menyalurkan maklumat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Malam tadi, portal Harian Metro menyiarkan kisah Mohamad Syafiq yang kehilangan kereta pada 5.30 pagi Sabtu lalu, ketika berada di rumah mentuanya di Gong Serapat, Pasir Puteh, Kelantan.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Mohamad Syafiq berkongsi kesedihannya di FB kerana mengenangkan kelengkapan bayi untuk anak sulung bakal dilahirkan turut hilang kerana diletakkan di dalam but kereta miliknya.

Mohamad Syafiq membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh selain melakukan pencarian hasil maklumat yang diterima.

  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 12:59pm
    d