mutakhir

KPT jawab persoalan berbangkit berkaitan UA, IPTS

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) antara diarahkan tutup sementara menyebabkan segelintir penuntut terpaksa tinggal di asrama sepanjang tempoh itu.

Bagi menjawab kemusykilan itu, Kementerian Pengajian Tinggi menjawab beberapa persoalan.

1) Bagaimana dengan pengurusan pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing?

Bagi penuntut UA dan IPTS tempatan yang masih berada di kampus (kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi) perlu kekal di premis itu dan tidak dibenarkan kembali ke kampung halaman walaupun pelajar yang sudah membeli tiket pengangkutan.

Penuntut UA dan IPTS antarabangsa dibenarkan pulang ke negara asal tetapi tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan atau apa-apa tempoh yang ditetapkan pihak berkuasa.

Penuntut antarabangsa yang tidak pulang perlu kekal di kediaman kampus (kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi) masing-masing. Mereka hendaklah melaporkan kepada pengurusan UA dan IPTS dan tertakluk kepada perintah yang berkuatkuasa. UA dan IPTS perlu bertanggungjawab ke atas keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang keberadaan mereka di kampus.

2. Adakah operasi perkhidmatan diteruskan di kampus?

Semua operasi di UA dan IPTS ditutup sepenuhnya kecuali perkhidmatan penting (essential services) seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, keselamatan, pembersihan, infrastruktur penyelidikan, peruncitan dan bekalan makanan.

Perkhidmatan penyediaan makanan di UA dan IPTS boleh beroperasi dengan hanya melalui pelaksanaan penghantaran makanan atau pembelian makanan secara bungkus sahaja.

3. Bagaimanakah kami boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung arahan PKP?

UA dan IPTS disarankan supaya sentiasa peka dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. UA dan IPTS boleh mendapatkan maklumat terkini dengan melayari saluran telegram MKN Rasmi https://t.me/MKNRasmi.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 1:57pm
d