mutakhir

Peruntukan sama rata setiap negeri, bayaran PTPTN ditangguh [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

DALAM usaha menangani krisis akibat penularan wabak Covid-19, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta dengan pembahagian sama rata setiap negeri tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu boleh diagihkan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis Covid-19.

Selain itu, katanya, ia juga boleh digunakan untuk pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan petugas di peringkat kerajaan negeri yang terbabit dalam menangani krisis ini.

“Krisis yang sedang kita hadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik. Sebab itu saya berpandangan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini.

“Menjaga keselamatan rakyat, kesihatan rakyat dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab kita bersama yang melangkaui batas politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju memberikan lanjutan masa dari tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membabitkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta.

“Penangguhan ini berkuatkuasa serta-merta pada hari ini sehingga 30 September 2020 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 2:14pm
    d