mutakhir

Syarikat farmaseutikal terus operasi

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PERSATUAN Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) akan terus beroperasi bagi membolehkan rakyat mendapat produk perubatan utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PhAMA juga sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan kerajaan bagi meminimakan gangguan terhadap perniagaannya.

Presidennya, Chin Keat Chyuan berkata, Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) sudah memberi sokongan penuh kepada ahli PhAMA yang mahu meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP ini.

“Semua ahli PhAMA akan beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh MITI sepanjang PKP.

“PhAMA dan MITI juga bersepakat bagi memastikan rakyat di negara ini tidak akan terputus barangan dan perkhidmatan penting yang disediakan oleh syarikat ahli kami.

“PhAMA komited untuk mengekalkan akses kepada inovatif perubatan bagi seluruh masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, PhAMA yakin kerjasama dengan kerajaan akan membantu menghalang penularan wabak Covid-19.

PhAMA mewakili sebanyak 45 syarikat tempatan dan antarabangsa yang terbabit dalam pengeksportan, pengedaran dan pembuatan produk farmaseutika.

Ahli syarikat yang menyertai PhAMA juga termasuk syarikat penyelidik farmaseutikal antarabangsa terbesar dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 3:02pm
    d