mutakhir

SKMM kesan 43 kes penyebaran berita palsu Covid-19

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah mengenalpasti 18 suspek daripada 43 kes penyebaran berita palsu mengenai Covid-19.

SKMM dalam kenyataan, memaklumkan enam daripada suspek termasuk seorang selebriti sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Manakala, lima suspek sudah diambil keterangan berhubung di beberapa lokasi di Perak dan Pulau Pinang, hari ini.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutama mengenai Covid-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.

“SKMM memandang serius sikap tidak bertanggungjawab individu atau kumpulan yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah. SKMM dan PDRM memantau perkara ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ragu mengenai kesahihan sesuatu berita diminta melayari laman sesawang Sebenarnya.my atau pautan telegram, https://t.me/sebenarnyamy.

Maklumat mengenai penularan berita palsu mengenai Covid-19 juga boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ di https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 7:39pm
    d