mutakhir

'Tolonglah itu bukan FB saya'

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

“TOLONGLAH, Itu bukan Facebook (FB) saya. Saya juga ditipu sehingga menjadi keldai akaun,” kata Nurisah Haimi, 21.

Nurisah berkata, sebelum ini dia berusaha mencari pekerjaan dan terlihat satu iklan jawatan kosong sebagai seorang kerani akaun melalui FB.

Menurutnya, dia kemudiannya menghubungi nombor tertera dan individu berkenaan memperkenalkan diri sebagai Salma.

“Selepas bertanya mengenai kerja itu, Salma memaklumkan saya diterima bekerja dan dia meminta semua butiran saya termasuk nombor akaun bank.

“Dia memaklumkan kerja saya adalah membuat pembayaran kepada pembekal sesuatu barang menggunakan akaun peribadi saya secara online dan saya dibayar RM50 untuk setiap transaksi saya buat.

“Pada 17 Mac lalu, sejumlah wang mula masuk ke akaun saya dan sejak itu ribuan ringgit masuk ke dalam akaun saya. Ada yang masukkan lebih RM7,000, RM6,000, RM10,000 dan yang tertinggi lebih RM22,000, ” katanya ketika ditemui Harian Metro di Sandakan hari ini.

Nurisah berkata, setiap kali jumlah wang dalam akaunnya mencecah ribuan ringgit, Salma akan menyuruhnya memindahkan ke akaun bank atas nama lain.

“Pemindahan itu kononnya untuk membayar pembekal. Keseluruhan jumlah duit yang masuk ke akaun saya sebanyak RM100,003 serta membabitkan lebih 400 pelanggan.

“Sehinggalah pada semalam, seorang rakan memaklumkan saya ditularkan di FB. Saya sangat terkejut dan ketakutan selepas melihat gambar saya digunakan kononnya menjual ‘face mask’ yang ramai orang cari ketika ini kerana Covid-19.

“Turut tertera juga nombor akaun saya pada iklan itu. Itu bukanlah akaun FB saya. Saya juga tidak pernah menjual barang secara online,” katanya.

Kata Nurisah, dia kemudiannya baru tersedar individu dikenali sebagai Salma itu sudah menjadikan dia keldai akaun lalu segera membuat laporan polis.

“Sejak semalam, saya sudah tidak dapat menghubungi Salma.

“Saya berharap semua pihak yang membuat bayaran itu faham keadaan saya kerana saya juga menjadi mangsa penipuan ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 8:11pm
d