mutakhir

Tarikh penangguhan solat Jumaat, berjemaah dilanjutkan

Oleh Omar Ahmad

KERAJAAN Johor melanjutkan tarikh penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah, aktiviti masjid, surau dan musolla di seluruh negeri.

Tempoh berkenaan sebelum ini ditangguh 17 Mac dan berakhir pada 26 Mac ini.

Dalam kenyataan bersama Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor, Datuk Mohd Noh Ibrahim, berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan perkara itu berdasarkan Fasal 57 (A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Fasal 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor Tahun 2003 sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“Berdasarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19 bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac depan sebagaimana keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dengan ini dimaklumkan tarikh penangguhan dilanjutkan sehingga waktu Isyak pada 31 Mac, atau mengikut apa ketetapan yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.

“Justeru itu, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid, surau dan musolla seperti ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid secara khusus dan umat Islam amnya hendaklah mematuhi arahan ini.

“Semoga wabak Covid-19 ini segera berakhir dan negeri kita beroleh lindungan Allah SWT dari segala wabak dan bencana,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 8:18pm
d