mutakhir

Jakim lancar tabung Musa'adah Covid-19

Oleh BERNAMA

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan Tabung Musa’adah Covid-19 sebagai inisiatif membantu meringankan beban pihak yang terjejas akibat wabak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan ke tabung berkenaan boleh dibuat melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (16027010001528) atas nama Tabung Bencana Alam dengan rujukan derma Covid-19.

Beliau berkata, sumbangan itu bertujuan membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19 khususnya penjawat awam dan pegawai kader Jakim yang bertugas di hospital semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sumbangan ini juga diharap membantu petugas di pusat kuarantin dan mereka yang terjejas secara langsung kepada jangkitan seperti pasukan pengurusan jenazah, tukang mandi jenazah, pemandu van jenazah dan penggali kubur dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan ahli keluarga mangsa,” katanya pada sidang media sempena pelancaran tabung itu, hari ini.

Zulkifli turut menyeru seluruh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (Main) badan bukan kerajaan, masjid dan surau untuk sama-sama menggerakkan kutipan Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim.

Sehingga semalam, 1,518 kes positif Covid-19 dengan 14 kematian direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 12:33pm
    d