mutakhir

Rugi RM54,000 nak beli penutup hidung dan mulut

Oleh Hassan Omar

GARA-GARA ingin mendapatkan 3,364 kotak penutup hidung dan mulutu topeng untuk dijual, wanita kerugian RM54,000 selepas diperdaya individu berjanji menjual kepadanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang bekerja sebagai kerani di kilang di Alor Gajah berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa yang tinggal di Taman Samarinda berkomunikasi dengan suspek melalui WhatsApp pada 15 Mac lalu.

“Mangsa ingin membeli 3,364 kotak penutup hidung dan mulut dan diminta membuat bayaran ke akaun bank,” katanya di Alor Gajah, hari ini.

Berikutan itu, mangsa menggunakan wangnya dan wang beberapa rakan untuk membuat pembayaran RM54,000 secara berperingkat mulai 16 Mac hingga 17 Mac lalu.

Suspek berjanji menghantar penutup hidung dan mulut itu ke rumah mangsa, 17 Mac lalu tetapi mangsa tidak menerimanya hingga sekarang.

Mangsa yang berasa diperdaya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat urusan pembelian barangan, terutama penutup hidung dan mulut yang mendapat permintaan tinggi berikutan wabak Covid-19 sekarang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 1:02pm
    d