mutakhir

Covid-19: Jenazah dikebumi tanpa talkin

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

JENAZAH mangsa koronavirus baharu (Covid-19) hanya akan ditayamum atas balutan plastik sebelum disolat dan dikebumikan tanpa talkin.

Imam Masjid Negara Muhammad Afif Jamal berkata, dia yang menguruskan jenazah mangsa Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) perlu mengikut prosedur ditetapkan untuk mengelak wabak itu berjangkit.

Menurutnya, pihaknya akan menunggu di bilik forensik dan menerima jenazah yang sudah dibalut dengan kain dan dua lapisan beg jenazah.

“Saya dan rakan yang mengurus jenazah juga perlu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika menguruskan mangsa Covid-19 yang akan dihadapkan ke arah kiblat.

“Jenazah juga tidak dimandikan dan akan dilakukan tayamum di muka dan tangan yang sudah dibungkus dua lapisan beg jenazah.

“Proses tayamum dilakukan mengikut hukum syarak dan ada tiga keping kertas ditaburkan tayamum,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Afif berkata, sebelum melakukan tayamum, tangan hendaklah dalam keadaan bersih dan tepuk kedua-dua tapak tangan ke atas permukaan debu tayamum.

“Kemudian sapukan ke bahagian muka jenazah sebelum ulang perkara sama untuk tangan.

“Tangan kanan disapu ke tangan kanan jenazah dan begitu juga untuk tangan kiri disapukan ke tangan kiri jenazah,” katanya.

Katanya, waris mangsa juga akan ada untuk tujuan pengecaman namun perlu berada pada jarak sekitar satu meter.

“Selepas selesai tayamum, jenazah akan disolatkan terus sebelum dibawa ke tempat pengebumian untuk dikebumikan.

“Di tanah perkuburan juga ahli keluarga tidak dibenarkan berada dekat dan jenazah dikebumikan seperti biasa namun cuma tiada talkin,” katanya.

Menurut Muhammad Afif, selepas selesai mengendalikan jenazah mereka perlu menanggalkan PPE dan membasuh tangan, mandi dan merendam pakaian yang tercemar dalam larutan peluntur.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 2:34pm
    d