mutakhir

Padah naikkan harga penutup mulut dan hidung

Oleh Melvin Joni

SEBUAH farmasi di Kuching dikompaun RM10,000 kerana menjual penutup mulut dan hidung melebihi harga kawalan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap farmasi atau mana-mana pihak yang mengeksploitasi harga penutup mulut dan hidung dalam menghadapi penularan pandemik koronavirus baharu (Covid-19) ketika ini.

“KPDNHEP Sarawak menjalankan pemantauan harian di premis perniagaan.

“Tumpuan sekarang untuk memastikan bekalan penutup mulut dan hidung berada di pasaran disebabkan permintaan yang tinggi oleh orang ramai,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, harga penutup mulut dan hidung dikawal oleh kementerian yang mana menjadi kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya menjual melebihi harga yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati ada pihak yang menjual penutup mulut dan hidung pada harga tidak munasabah untuk siasatan lanjut.

Manakala bagi pembasuh tangan antiseptik atau hand sanitizer, Stanley berkata, ia bukan barang kawalan.

Bagaimanapun, katanya, peniaga yang mengambil keuntungan tidak munasabah boleh dikenakan tindakan kerana mencatut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 2:42pm
    d