mutakhir

MBMB kecualikan sewa gerai

Oleh Amir Mamat

MAJLIS Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memutuskan untuk memberikan pengecualian bayaran sewa bulanan gerai MBMB selama dua bulan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin berkata, pengecualian sewa bermula April dan Mei depan akan membabitkan seramai 1,326 penyewa dengan nilai sewaan berjumlah RM766,000.

“Mereka turut diberikan pengecualian bayaran lesen selama setahun membabitkan kira-kira RM617,000 yang membawa kepada jumlah keseluruhan dianggarkan RM1.38 juta.

“Langkah itu sebagai keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban rakyat yang terkesan susulan penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan di Melaka, hari ini.

Beliau berkata, seluruh warga bandar raya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam aspek kebersihan diri serta keluarga.

Menurutnya, pihaknya berharap rantaian wabak itu dapat dicegah dan dihentikan dalam kadar segera.

“Pada masa sama, MBMB mewujudkan bilik gerakan khas dikenali Command Centre Covid-19 (CCC) bermula semalam, sepanjang tempoh PKP.

“CCC beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam itu diwujudkan bagi melancar dan memudahkan penyelarasan pemantauan kerja asas perbandaran ketika sumber tenaga anggota MBMB perlu diminimumkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

“Setakat ini seramai 119 anggota MBMB ditugaskan setiap hari secara bergilir di lapangan dan di pejabat pentadbiran, antaranya bagi melakukan kerja berkeperluan seperti pemantauan pematuhan operasi perniagaan, penguatkuasaan ketidakberadaan di tempat awam, pemantauan perkhidmatan penyelenggaraan kebersihan dan keselamatan awam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:10pm
    d