mutakhir

Bantulah barisan hadapan

Oleh Suraya Roslan

SATU video berdurasi empat minit 35 saat dipercayai luahan doktor menjadi tular di media sosial hingga menyentuh hati netizen.

Video bertajuk ‘Dengar doktor menangis terlalu penat’ antara luahan rasa situasi barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini ‘berperang’ dengan wabak Covid-19.

Harian Metro difahamkan, video itu dihasilkan oleh Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim sebagai kempen meminta sumbangan membeli penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan pakaian perlindungan (PPE) untuk barisan hadapan negara dan #stayathome menerusi pautan heromalaysia.com.

“Saudara-saudaraku, apa yang paling kita takuti ialah team frontliner (barisan hadapan) kita mula burn out, kepenatan, hilang semangat dan keletihan melampau.

“Staf (kakitangan) KKM ada yang bekerja sehingga 18 jam sehari, pulang rumah mandi letak kepala dua saat terus tertidur.

“Berapa ramai pula yang tidur di tempat kerja, ada suami isteri yang menghantar makanan buat pasangan mereka yang bekerja di hospital menangis melihat pasangan mereka kepenatan, anak dalam kereta memandang dari jauh, ibu dan ayah melambai dengan esakan tidak henti bahkan tukang cuci hospital menangis melihat doktor dan staf KKM kelesuan, keletihan serta hati tidak bermaya lagi,” katanya.

Dalam video berkenaan turut menyatakan kerisauan sekiranya barisan hadapan dan paling penting itu tumbang.

“Tetapi malangnya kita yang sihat dan diberi cuti ini ada yang tidak menghargai pengorbanan dan penat lelah mereka.

“Ada yang mempersendakan apa yang mereka lakukan dan pengorbanan mereka. Ada yang kemas kini ke pasar raya beramai-ramai, ada yang berkelah ke tepi pantai, bawa anak ke taman permainan.

“Ya Allah, sedarlah semua dan lebih teruk ada yang degil dan menipu. Ada yang kontak terus dengan pembawa Covid-19 enggan mengakui dan datang terus ke hospital tidak jujur bercerita dan selepas disahkan positif, menangis doktor yang merawat mereka kerana perlu dikuarantin,” katanya.

Luahan itu juga turut menyatakan kasihanilah jururawat dan doktor yang cuba membantu tetapi mereka pula terkena jangkitan akibat pesakit yang menipu dan tidak jujur.

“KKM mengumumkan 15 orang dari sektor kesihatan dijangkiti virus Covid-19, ini semua datang dari sikap tidak jujur sebahagian pesakit tidak berterus terang yang ada hubungan terus dengan pembawa virus itu.

“Staf KKM adalah hero dan heroin yang tidak terbanding jasa mereka yang berkorban segalanya untuk kita dan kita sanggup mengkhianati serta mempersendakan pengorbanan mereka, sedarlah semua hargailah pengorbanan mereka,” katanya.

Video itu menyatakan banyak air mata tumpah kerana pengorbanan mereka termasuk ada kakitangan yang menangis tidak dapat lagi solat di awal waktu.

“Ada yang menangis tidak dapat baca al-Quran seperti selalu, tidak dapat melihat kawan yang keletihan, kelesuan tetapi kita yang masih sihat dan diberi rehat tolonglah faham dan peduli.

“Tolonglah, kita patuhi semua arahan daripada kerajaan, duduk di rumah diam-diam dan jika perlu dapatkan rawatan tolong jujur dengan mereka.

“Ucaplah terima kasih kepada hero dan heroin kita yang tidak bernama ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:33pm
    d