mutakhir

Perkeso percepat bayaran

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PEMBAYARAN bulanan pencen dan faedah kepada orang berinsurans serta tanggungan mereka akan dipercepatkan mulai bulan ini yang memanfaatkan 300,000 penerima.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan sedia maklum kesukaran dihadapi oleh rakyat akibat serangan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Menurutnya, bagi meringankan beban ditanggung oleh orang berinsurans serta tanggungan mereka, Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meneliti semula jadual pembayaran itu.

“Pembayaran bulanan akan dipercepatkan mulai bulan ini yang akan memanfaatkan kira-kira 300,000 penerima pencen dan faedah berikut iaitu pencen ilat/penakat, faedah orang tanggungan, faedah hilang upaya kekal berkala dan faedah elaun layanan sentiasa.

“Bagi bulan ini, Perkeso akan mengkreditkan semua bayaran berkala di atas kepada institusi perbankan pada hari esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, tarikh bayaran akan diterima oleh orang berinsurans dan tanggungan bergantung kepada pengkreditan oleh bank berkaitan kepada mereka.

“Pembayaran awal akan berterusan sehingga bulan Ogos di mana bagi bayaran April akan dibuat pada 24 April, Mei (20 Mei), Jun (25 Jun), Julai (24 Julai) dan Ogos (25 Ogos).

“Sebarang pertanyaan boleh emel ke perkeso@perkeso.gov.my atau menyalurkan aduan/pertanyaan melalui facebook.com/perkeso.official,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 7:08pm
    d