mutakhir

Covid-19: Pasar Borong Selangor dipantau

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENGUNJUNG dan pekerja di Pasar Borong Selangor mesti melalui saringan kesihatan dan mengamalkan penjarakkan sosial bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya mengadakan lawatan bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) serta pengurusan pasar borong berkenaan bertujuan memantau orang awam dan peniaga yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perjumpaan bersama Yang DiPertua MPSJ Noraini Roslan serta pihak pengurusan Pasar Borong Selangor jam 10 pagi itu adalah bagi membincangkan kaedah untuk kawalan kemasukan pengunjung serta langkah pencegahan Covid-19.

“Pihak MPSJ meminta pengurusan Pasar Borong Selangor menyelaras dan mencari kaedah penyelesaian bagi mengawal kemasukan di pintu masuk utama dengan mengehadkan serta kawal selia melalui penyediaan garisan untuk menjarakkan pengunjung antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam perjumpaan itu adalah Pengurus Besar Pasar Borong Selangor Tamby Omar Mohamad dan Pengurus Kanan pasar borong berkenaan Pongot Sajab.

Katanya, tempoh masa operasi pasar borong itu disingkatkan iaitu bermula jam 5 pagi sehingga 12 malam setiap hari berbanding 24 jam sebelum ini.

“Perjumpaan ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak yang hadir.,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 7:38pm
    d