mutakhir

Motosikal terbabas dalam sungai rupanya...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA beradik yang ditemui lemas dalam Sungai Tunjang, Jitra, hari ini dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di kawasan itu.

Difahamkan, mereka keluar dari rumah di Kampung Padang Minyak pada 3 petang semalam untuk ke kedai makan milik ibu mereka di Pekan Tunjang.

Bagaimanapun, dua beradik itu tidak pulang ke rumah dan disedari bapa mereka, Anwar Abu Hassan, 45, lalu cuba mencari mereka, namun tidak jumpa.

Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Jitra berhubung kehilangan dua beradik itu pada 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, sebaik laporan dibuat, pihaknya dimaklumkan mayat mangsa Awwal Firas Tasnim, 7, ditemui terapung pada 12 tengah hari.

Katanya, mayatnya ditemui orang awam dan operasi mencari abangnya dilakukan dengan bantuan penduduk kampung.

“Mayat abang mangsa Aiman Darwisy Danish, 12, ditemui terhimpit di bawah motosikal Honda Wave dalam sungai berkenaan pada 2.30 petang.

“Tiada kesan kecederaan lain dilaporkan pada mayat mereka dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 7:52pm
d