mutakhir

Kakitangan KKM pantau pengebumian [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

JABATAN Kesihatan Kelantan menjelaskan proses pengebumian jenazah mangsa Covid-19 perlu dilakukan oleh pihak waris dengan pemantauan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagaimanapun tatacara pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) terus diperhalusi pihaknya dan dibuat bersama beberapa agensi yang terbabit.

Katanya, Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020, bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, seperti mana menguruskan mangsa virus Ebola.

Katanya, pandangan itu turut mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Justeru, pihak kami merujuk kepada Garis Panduan Pengurusan Covid-19 di Malaysia, yang menyatakan garis-garis panduan seperti memastikan jenazah dikebumi secepat mungkin.

“Selain itu, proses persediaan jenazah seperti memandi dan mengkafankan mesti dilakukan di dalam bilik ‘post mortem’ khas oleh kakitangan perubatan selepas selesai pemeriksaan fizikal.

“Jenazah hendaklah dimasukkan ke dalam ‘body bag’ dan ditutup sepenuhnya dengan pengawasan pegawai kesihatan yang bertugas,” katanya.

Zaini berkata, penyerahan jenazah kepada pihak yang menuntut perlu dilakukan dengan langkah berjaga-jaga sambil diawasi pegawai kesihatan, manakala ahli keluarga atau waris tidak dibenarkan membuka ‘body bag’.

“Akhir sekali, semua jenazah yang disyaki Covid-19, disyorkan untuk dilakukan pengebumian oleh pihak yang menuntut dengan segera, iaitu sebaik-baiknya pada hari sama dengan pemeriksaan atau ‘post mortem’ dilakukan.

“Segala aktiviti semasa proses pengebumian perlu dilakukan di bawah pengawasan kakitangan kesihatan, namun garis panduan ini tidak dinyatakan ia perlu dilakukan oleh kakitangan kesihatan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, pihak Jabatan Kesihatan Kelantan menyesali serta memohon maaf di atas kekeliruan yang berlaku. Kami berusaha menambah baik serta meningkatkan tahap pemahaman masyarakat dan pihak berwajib yang berkaitan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Kenyataan terbabit merujuk kepada kekeliruan berkaitan pihak yang mengurus pengebumian bagi kes kematian kelapan Covid-19 kelmarin yang tular di dalam laman sosial.

Ahli keluarga mangsa dikatakan meminta penjelasan berhubung tatacara bagi menguruskan jenazah pesakit Covid-19 dan pembabitan waris dalam pengurusan jenazah pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 8:22pm
    d