mutakhir

Cabaran PDRM makin kompleks

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini bukan saja menghadapi cabaran jenayah konvensional dan ancaman pengganas namun jauh lebih kompleks berdepan era ledakan digital.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa, PDRM bukan berhadapan dengan jenayah konvensional dan ancaman pengganas yang ada kalanya amat luar biasa.

Menurutnya, ia lebih kompleks dalam dunia digital sekarang ini yang mana PDRM perlu menanganinya secara strategik, tegas dan berkesan.

“PDRM perlu bersedia menangani secara strategik dan efektif rangkaian jenayah membabitkan platform pada zaman masa kini.

“Kerajaan juga amat berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan oleh anggota PDRM dalam memikul amanah dipertanggungjawabkan demi memastikan negara kekal selamat dan terjamin,” katanya ketika berucap sempena Hari Polis ke-213 di Bernama TV, malam ini.

Hamzah berkata, kerajaan juga mengucapkan terima kasih kepada PDRM atas khidmat bakti dan pengorbanan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran negara.

“Saya harap PDRM terus beri khidmat terbaik sebagai pasukan hadapan dalam menjalankan tugas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam masa sama, saya juga bersimpati dengan anggota PDRM dan keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan saya berdoa agar mereka diberi kekuatan serta kembali sembuh,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan kebajikan mereka dan ahli keluarga terbela.

Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 11:44pm
d