mutakhir

Berguru dalam rumah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

YAYASAN YTL bekerjasama dengan YES dan FrogAsia dengan melancarkan Inisiatif Belajar Dari Rumah bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran diteruskan susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menerusi aplikasi mudah alih berbentuk permainan, FrogPlay Moblie, semua mata pelajaran teras yang diajar dari tahun satu hingga tingkatan lima disusun khas oleh sebuah syarikat penerbitan, Pelangi.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL dan Pengerusi Yayasan YTL Tan Sri Dr Francis Yeoh berkata, pihaknya menjalankan kaji selidik dalam kalangan ibu bapa bagi mengetahui kebimbangan utama mereka dalam tempoh merunsingkan ini.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya menyediakan akses dalam talian dan golongan ibu bapa boleh mendapatkan sehingga lima kad sim prabayar 4G percuma daripada YES untuk anak mereka.

Katanya, setiap kad sim didatangkan dengan pelan data 40 GB yang sah untuk tempoh 60 hari selepas diaktifkan dan ia akan dihantar ke rumah secara percuma.

“Yayasan YTL sentiasa berusaha membantu pelajar dan sekolah demi menyediakan pendidikan lebih baik kepada semua.

“Dalam keadaan negara sedang berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 yang belum pernah dihadapi sebelum ini, kami mahu memastikan anak-anak dapat meneruskan pembelajaran di rumah.

“Justeru, kami memberikan akses percuma kepada sumber pembelajaran dalam talian, FrogAsia serta menyediakan data percuma melalui rangkaian mudah alih YES 4G,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap semua kanak-kanak di negara ini akan kekal selamat dan pada masa sama dapat meneruskan pembelajaran mereka.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai diminta melayari www.ytlfoundation.org/learn untuk mendaftar FrogPlay Mobile dan memohon kad sim prabayar YES 4G.

Mereka juga boleh mendapatkan sumber pelajaran tambahan lain di halaman Learn From Home dalam laman sesawang Yayasan YTL.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 6:01am
d