mutakhir

HSA tidak arah tutup Larkin Sentral

Oleh Omar Ahmad

PENGURUSAN Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, tidak pernah mengarahkan Larkin Sentral ditutup.

Pengarah HSA, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, pihaknya menafikan mesej tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam yang mengatakan pihaknya meminta Larkin Sentral ditutup.

Katanya, kuasa arahan perintah tutup mana-mana premis dan fasiliti awam atau kerajaan bukan di bawah bidang kuasa HSA.

“Berdasarkan mesej berangkai berkenaan pihak HSA meminta pihak pengurusan Larkin Sentral Johor Bahru menutup fasiliti itu kepada orang awam apabila terdapat seorang yang jatuh secara tiba-tiba dipercayai berpunca daripada Covid-19.

“Masyarakat diminta untuk tidak menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Sementara itu, menurut Dr Mohtar, pihak pengurusan hospital juga mengambil maklum berhubung kenyataan tular dimedia sosial berhubung isu Surat Pelancaran sumbangan derma barangan/kewangan bagi kegunaan rasmi HSA dalam usaha menangani wabak Covid-19 yang bertarikh 22 Mac lalu.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan dan mendapati kenyataan dan nombor akaun CIMB (8603-7521-47) yang tertera adalah benar dan didaftarkan atas nama Ahli Lembaga Pelawat (ALP) HSAJB.

“Laporan kewangan ALP HSAJB akan dibentangkan kepada Pengurusan Hospital dan seterusnya ke Bahagian Kewangan KKM bagi tujuan pemantauan.

“Bagaimanapun kami memberi peringatan sewajarnya kepada pihak ALP HSAJB supaya ia tidak disalah guna oleh pihak yang berkepentingan,” katanya

ALP HSAJB dilantik oleh Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berperanan sebagai penghubung dan pengerat hubungan antara hospital dan komuniti demi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 2:03pm
    d