mutakhir

Anggota bomba Teluk Intan positif Covid-19

Oleh Balqis Jazimah Zahari

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan seorang anggotanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan positif Covid-19.

Pengarah Bomba negeri, Azmi Osman berkata, anggota berkenaan sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk saringan kelmarin dan laporan petang semalam mengesahkan anggota terbabit positif wabak itu.

“Anggota berkenaan kini dikuarantin di Hospital Teluk Intan (HTI) selama 14 hari selepas disahkan positif Covid-19.

“Pada masa sama, keseluruhan 10 anggota lain dalam satu pasukan dengannya juga diarahkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini dan berkemungkinan mereka ini juga akan dikuarantin,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Azmi, ujian saringan akan disusuli oleh anggota yang lain sekiranya terdapat simptom wabak terbabit.

“Kita mempunyai tiga pasukan tetapi buat masa ini, anggota pasukan yang lain tidak menunjukkan simptom menghidap Covid-19.

“Dua pasukan lagi akan menjalani saringan sekiranya terdapat simptom seperti demam atau batuk,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, operasi balai bomba berkenaan masih berjalan seperti biasa.

“Kita akan terus beroperasi seperti biasa, ia tidak menjejaskan kekuatan pasukan kerana kita sudah menyusun strategi.
“Balai bomba berkenaan masih mempunyai kekuatan anggota yang mencukupi dan perkhidmatan operasi, seperti memadam kebakaran dan lain-lain berjalan seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 3:39pm
    d