mutakhir

40,000 peniaga di Johor dikecualikan bayaran

Oleh Mohamed Farid Noh

HAMPIR 40,000 peniaga kecil di negeri ini dikecualikan bayaran sewa tapak perniagaan mulai April hingga Oktober depan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Muhammad berkata, langkah itu dilakukan bagi membantu peniaga kecil yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Katanya, insentif itu adalah satu daripada 15 insentif tambahan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Johor bagi menangani kesan penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan Johor akan mengecualikan bayaran tapak perniagaan kepada peniaga kecil membabitkan pasar tani, pasar pagi dan pasar malam seluruh negeri.

“Pengecualian bayaran mulai April hingga Oktober 2020 yang membabitkan 34,821 peniaga pasar pagi serta pasar malam selain 1,660 peniaga pasar tani seluruh negeri dengan kos anggaran RM2.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian selepas Mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), hari ini.

Kerajaan Johor minggu lalu bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah RM150 juta bagi 32 insentif dalam pakej rangsangan ekonomi negeri bagi menangani krisis penularan Covid-19.

Enam insentif dengan jumlah peruntukan sebanyak RM12.5 juta sudah diumumkan. Baki 11 insentif membabitkan RM120 juta akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerajaan negeri juga akan memberi insentif pengecualian bayaran sewa rumah dan kedai kepada penyewa daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri Johor yang akan memberi manfaat kepada 2,989 penyewa.

Katanya, pemberian insentif pengecualian sewa itu bermula pada bulan April hingga Jun 2020.

“Pengecualian diberikan kepada penyewa yang menduduki PPR dan RSK setakat pengisian sebelum Februari dengan kos anggaran sebanyak RM4.8 juta.

“Kerajaan negeri juga akan membantu golongan B40 yang membeli Rumah Mampu Biaya Johor, Jenis A di bawah Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) menerusi Belanjawan Johor 2020.

“Kerajaan negeri juga bersetuju menangguhkan pembayaran balik Skim Sewa Milik selama enam bulan untuk kes yang layak kerana hilang mata pencarian,” katanya.

Sebagai insentif tambahan, Hasni berkata, kerajaan negeri turut bersetuju mengecualikan bayaran lesen perniagaan kepada peniaga kecil selama setahun bermula Januari hingga Disember 2020.

Katanya, insentif itu turut diperluaskan kepada PKS kategori mikro yang berdaftar dan memiliki lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Johor iaitu membabitkan sebanyak 11,737 peniaga.

“Bagi peniaga yang sudah membuat pembayaran lesen perniagaan bagi tahun 2020, ia akan diselaraskan dengan bayaran lesen perniagaan tahun 2021, membabitkan anggaran kos sebanyak RM2.3 juta.

“Sebelum ini, pengecualian bayaran sewaan premis diberikan kepada peniaga yang menyewa premis milik PBT dan pasar awam berjumlah 10,692 peniaga.

“Selain daripada itu, peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri Johor yang beroperasi di premis milik kerajaan negeri yang diuruskan oleh Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUNJ) berjumlah 151 buah turut menerima manfaat ini, yang akan bermula April hingga Disember depan, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 3:50pm
    d