mutakhir

Enam ditahan dalam SJR Covid-19

Oleh Nurul Amanina Suhaini

ENAM lelaki tempatan ditahan di tiga lokasi berasingan dalam sekatan jalan raya (SJR) sekitar Johor Bahru kerana dipercayai terbabit dalam penggunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kesemua yang ditahan menerusi SJR Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki tempatan berusia 25 hingga 36 tahun di hadapan Country Garden Jalan Lebuhraya Sultan Iskandar, pada 1 pagi tadi.

“Saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Tangkapan kedua membabitkan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 41 tahun di Jalan Pantai Permas Jaya, 3 pagi tadi.

“Kedua-duanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan seorang daripadanya mempunyai 11 rekod

lampau,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, tangkapan ketiga membabitkan lelaki tempatan di Jalan Taman Daya, pada jam 10.30 malam tadi.

Katanya, lelaki berusia 24 tahun didapati positif dadah jenis ganja (THC), selain mempunyai dua rekod lampau.

“Kesemua tangkapan akan direman selama tiga hari sehingga 27 Mac ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 4:51pm
d