mutakhir

Penduduk bersyukur air empangan meningkat

Oleh Hassan Omar

PENDUDUK yang sudah hampir dua bulan menggunakan bekalan air dicatu di seluruh Melaka bersyukur dan gembira dengan peningkatan paras air tiga empangan utama di negeri itu.

Selepas terpaksa mengangkut air dari pusat agihan setempat Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) ke kediaman masing-masing sejak 29 Januari lalu, mereka berdoa agar Allah menurunkan lebih banyak hujan bagi membolehkan paras air terus meningkat.

Asiah Hassan, 45, berkata beliau bersyukur dan gembira apabila menerima berita paras air Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin meningkat berikutan hujan lebat di kawasan tadahan hujan di sekitar empangan sejak beberapa hari lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila paras empangan meningkat dan berharap catuan air boleh ditamatkan atau dikurangkan kepada 12 jam berbanding catuan 24 jam sekarang.

“Saya berdoa agar Allah mencurahkan hujan berterusan di kawasan tadahan hujan bagi membolehkan catuan ini ditamatkan kerana setiap hari saya terpaksa mengangkut air sejauh satu kilometer (km) dari pusat agihan setempat ke kediaman di Taman Bidara Palma,” katanya ketika ditemui di pusat agihan setempat SAMB di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Alor Gajah, hari ini.

Mohd Julaimi Zainon, 42, berkata dia terpaksa mengangkut air untuk kegunaan memasak kerana air ditadah di kediamannya hanya cukup untuk mandi dan membasuh pakaian.

“Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini sudah ada hujan dan saya berdoa paras air di empangan utama terus mencatatkan peningkatan kerana saya sudah tidak larat lagi mengangkut air,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, paras air Empangan Durian Tunggal mencatatkan bacaan 27.3 peratus manakala Empangan Jus (22.4 peratus) dan Empangan Asahan (64.9 peratus) tetapi catuan akan tetap diteruskan kerana paras air Empangan Durian Tunggal dan Jus belum melepasi paras 60 peratus.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 5:51pm
d