mutakhir

40 pegawai dan anggota polis di Terengganu dikuarantin

Oleh Rosli Ilham

SERAMAI 40 anggota polis di Terengganu dikuarantin kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, seramai 24 pegawai dan anggota termasuk Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dikuarantin di rumah dan Ibu Pejabat Polis Kemaman.

Menurutnya, kesemua mereka ini mempunyai kontak rapat dengan seorang isteri kepada anggota polis yang bertugas di Hospital Kemaman.

“Isteri kepada anggota itu adalah jururawat dan disahkan positif Covid-19 serta dirawat di Hospital Kemaman, sementara pegawai dan anggota kita berada (kuarantin) di rumah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

“Setakat ini, tidak ada pegawai dan anggota kita yang disahkan positif,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di sekatan jalan di Rantau Abang, Dungun, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menerima sumbangan makanan yang disampaikan Pengurus Mc Donalds Dungun, Zaleha Hussin kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di situ.

Roslee berkata, seramai 16 pegawai termasuk anggota polis serta dua kakitangan awam turut dikuaratinkan di Kuala Terengganu.

“Seorang pegawai polis dari Bukit Aman mengadakan program di Pulau Perhentian dan salah seorang yang turut serta disahkan positif Covid-19.

“Daripada jumlah itu, enam anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen IPK Negeri Terengganu turut sama dikuaratinkan,” katanya.

Sementara itu, Roslee berkata, dua lelaki berusia 30-an dan 40-an ditahan selepas dipercayai menyebar berita palsu mendakwa berlaku kes positif Covid-19 di Kampung Air Putih Kemaman.

“Selepas kita sahkan dengan pihak Hospital Kemaman bahawa berita itu tidak benar, kita terus melakukan tangkapan kepada kedua-dua suspek, “katanya.

Katanya, dalam satu lagi kes di Dungun, seorang pelajar membuat laporan polis, selepas menerima laporan palsu berhubung bapanya disahkan positif Covid-19.

“Laporan palsu itu menyebabkan pelanggan tidak berkunjung ke kedai runcit milik bapanya itu dan polis sedang siasat dan setakat ini masih belum dibuat dan kedua-dua kes itu akan disiasat mengikut seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menerima lapan laporan berhubung penipuan pembelian topeng muka dan cecair pembasmi kuman melalui pembelian secara dalam talian.

“Wang dimasukkan namun barangannya tidak sampai dan ada yang sampai ke tangan mereka iaitu hanya kotak yang kosong.

“Kerugian yang dianggarkan oleh semua mangsa bernilai RM11,000 dan kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 6:08pm
d