mutakhir

Rakyat kita di India tiba hari ini

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SERAMAI 558 orang rakyat Malaysia selamat tiba dari Chennai dan Tiruchirappalli (Trichy), India dengan tiga pesawat sewa khas Air Asia hari ini.

Daripada jumlah itu 186 orang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dari Chennai pada jam 5:50 pagi melalui penerbangan AK-013.

Manakala, 372 yang lain tiba dari Trichy melalui penerbangan AK-22 dan AK-28 masing-masing pada jam 5 pagi dan 6.40 pagi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, penerbangan itu dibiayai sepenuhnya Parti Kongres India Malaysia (MIC).

Katanya, setakat ini MIC sudah membantu kerajaan membawa pulang 1,119 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India, termasuk tiga bayi.

“Semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang ini perlu menjalani proses kuarantin secara sukarela selama 14 hari sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sehingga 25 Mac 2020, seramai 1,679 orang rakyat Malaysia masih terkandas di India dan Kementerian Luar Negeri akan terus giat berusaha untuk memastikan rakyat Malaysia yang masih terkandas di India dapat kembali ke tanah air dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin turut memaklumkan rakyat Malaysia dan Kemboja yang terkandas akan dapat pulang ke negara masing-masing hari ini.

Katanya, bagi rakyat Malaysia yang terkandas di Kemboja, seramai 109 orang akan pulang dan dijangka tiba di tanah air pada jam 9 malam ini dengan pesawat MH763 milik Malaysia Airlines (MAS).

Manakala, bagi rakyat Kemboja yang terkandas di Malaysia, seramai enam orang akan pulang dan dijangka tiba di Kemboja pada jam 5:30 petang ini dengan pesawat MH762 milik MAS.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya berterima kasih kepada kerajaan Kemboja kerana sentiasa memberi komitmen serta berganding bahu dengan Malaysia demi memastikan urusan kepulangan rakyat Malaysia dan Kemboja yang terkandas ini dipermudahkan.

“Saya juga berterima kasih kepada Syarikat T7 Global Berhad kerana sudi menanggung kos penerbangan pulang ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada negara,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 6:26pm
d