mutakhir

Tiada alunan Sang Saka Biru

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEBAK dan pilu apabila tiada derap kasut di padang dan alunan lagu Sang Saka Biru di seluruh negara sempena Sambutan Hari Polis ke-213 yang disambut hari ini susulan penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, walaupun keadaan itu janggal namun tugas dan amanah perlu diutamakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, walaupun tradisi itu tidak dapat diraikan hari ini namun dengan sumbangan yang diberikan kepada pegawai dan anggotanya sedikit sebanyak mengubat kepiluan.

“Sepanjang 38 tahun perkhidmatan saya, ini kali pertama hari kebesaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat diraikan. Bagi diri saya, saya merasa sayu pertama kali dalam sejarah tidak dapat menyambut Hari Polis sempurna seperti mana tahun sebelum ini.

“Namun, demi tugas untuk negara, kita terpaksa melalui semua itu dan terpaksa berkorban diri bagi memastikan masyarakat setempat selamat dan peraturan yang dikeluarkan itu dipatuhi.

“Bagaimanapun, kita terharu dengan keprihatinan semua pihak yang menyalurkan sumbangan kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan dan Minuman Sempena Sambutan Hari Polis ke-213 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Sementara itu, Roslee berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada keluarga pegawai dan anggota yang dikuarantin selepas disyaki dijangkiti Covid-19.

Katanya, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban kepada kepada keluarga yang turut terkesan selepas ahli keluarga mereka dikuarantin.

Ketika ini, terdapat seramai 40 anggota polis di Terengganu dikuarantin kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 6:35pm
d