mutakhir

8 tan kopi tanpa permit disita

Oleh Omar Ahmad

CUBAAN membawa masuk sebanyak 8,570 kilogram biji kopi mentah tanpa permit berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, semalam.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, kesemua biji kopi mentah yang dibungkus dalam 144 guni bernilai RM197,000 dirampas hasil pemeriksaan ke atas dua lori di laluan lori import di KSAB.

Katanya, hasil pemeriksaan pada jam 3.40 petang itu, mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berkenaan membawa biji kopi mentah dari pelbagai negara.

“Kesemua dagangan berkenaan dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama membabitkan denda melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nur Afifah, pengimportan dagangan pertanian tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap industri pertanian negara.

Katanya, sekiranya biji kopi itu dibawa dari negara yang berisiko, ia dikhuatiri membawa ancaman serangan perosak pertanian.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 6:36pm
d