mutakhir

Rebat 50 peratus sewa premis

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN negeri Kedah memutuskan untuk memberi rebat 50 peratus kepada peniaga yang menyewa premis di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai Mac hingga Mei ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rebat tiga bulan itu diberikan bagi meringankan beban ditanggung peniaga yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita sedar ramai rakyat yang terjejas mata pencarian seperti penjaja yang menjual pakaian, pemandu teksi dan pekerja yang bergaji hari. Mereka ini bukanlah golongan asnaf tetapi sekarang mereka layak mendapat bantuan zakat.

“Jadi, kerajaan negeri akan berusaha mencari inisiatif terbaik bagi membantu meringankan beban rakyat dalam tempoh PKP ini dan memastikan tiada yang terus hilang sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masih berfungsi seperti biasa dan kerajaan negeri akan mengambil alih pembayaran elaun mereka bermula Mac hingga Disember ini.

Katanya, khidmat serta peranan MPKK terhadap masyarakat setempat akan diteruskan walaupun berlaku perubahan pentadbiran di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini dilaporkan, elaun MPKK di seluruh negara hanya dibayar setakat Februari lalu berikutan penangguhan sementara tugas MPKK sehingga pelantikan baharu Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dibuat.

Sementara itu, Mukhriz memberitahu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ditangguh sebelum ini dijangka akan diadakan selepas tamat perintah PKP iaitu 16 April ini.

“Akan ada perasmian oleh Tuanku Sultan (Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah), namun baginda tidak perlu berangkat ke dewan dan sidang kali ini juga hanya akan berlangsung sehari sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 7:03pm
d