mutakhir

Kreatifnya!

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

KESUKARAN mendapatkan penutup mulut dan hidung untuk kegunaan harian sepanjang musim penularan wabak Covid-19 mendorong sepasang suami isteri mencipta penutup itu mengikut kreativiti mereka sendiri.

Difahamkan pada peringkat awal mereka hanya membuat beberapa helai penutup kain kapas sahaja untuk kegunaan mereka suami isteri serta anak-anak setiap kali keluar dari rumah membeli barangan keperluan harian.

Mohd Zulkifli Talib, 37, berkata, hasil air tangan mereka itu mula mendapat perhatian ramai apabila dimuatnaik ke dalam Facebook kerana ramai tertarik dengan penutup mulut, hidung yang dihasilkan menggunakan kain bercorak kartun, bunga, berpetak, pelbagai warna serta harga murah.

Katanya, sebelum ini dia dan isteri menjahit pelbagai barangan produk bayi seperti sarung tilam, sarung bantal, beg, cadar dan termasuk langsir berasaskan kain kapas berkualiti tinggi.

Bapa kepada empat orang anak berusia 10 tahun hingga tiga bulan ini berkata, dia tidak mempunyai sebarang asas jahitan secara formal tetapi berani mencuba pelbagai jenis jahitan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Contohnya penutup mulut, hidung yang kami buat ini agak rumit sedikit untuk dihasilkan dan diperbuat dengan tiga lapisan kain serta diletakkan poket di bahagian tengah untuk memudahkan pengguna letak tisu basah sebagai pelindung tambahan.

“Proses untuk menghasilkan sehelai penutup hidung mengambil masa antara 15 hingga ke 20 minit dan satu meter kain boleh menghasilkan 15 helai penutup. Cara saya untuk dapatkan ilham selalunya saya akan teliti dulu contoh penutup diminta pelanggan dan akan jahit mengikut cara saya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Apal, Jertih, hari ini.

Sementara itu isterinya, Nurul Idayu Maliki, 27, berkata, dia juga turut membantu suami menjahit penutup mulut, hidung itu kerana permintaan semakin meningkat setiap hari.

Katanya, dia juga turut membuat rujukan di YouTube untuk mendapat idea menghasilkan penutup mulut, hidung yang digunakan di negara lain sebelum disesuaikan dengan keperluan rakyat di negara ini.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 8:59pm
d