mutakhir

Tiga remaja dicekup curi duit koperasi sekolah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Rawang, ditahan selepas memecah masuk koperasi sekolah dan mencuri wang tunai RM3,000, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pengawal keselamatan yang menemui pagar jeriji dan pintu koperasi itu terbuka ketika melakukan rondaan 12 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat kesan umpil pada pagar jeriji tingkap berhampiran pintu kaunter. Semakan mendapati wang tunai RM3,000 hilang dalam kejadian itu.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kundang melakukan serbuan yang membawa kepada penahanan tiga pelajar sekolah menengah berkenaan berusia antara 14 hingga 16 tahun di sekitar Rawang, awal pagi tadi.

“Semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 28 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan empat lelaki berusia antara 24 hingga 34 tahun, semalam, selepas dipercayai terbabit dengan kes curi motosikal di sebuah kedai serbaneka di Taman Gombak Ria dan kes curi kereta di Taman Sunway Batu Caves, di sini, Isnin lalu.

“Bagi kes curi motosikal, kami berjaya merampas dua motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini, manakala kereta yang dicuri di Taman Sunway Batu Caves berjaya ditemui semula.

“Semua suspek berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 Mac nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 11:04pm
d