mutakhir

11 pasar disembur pembasmi kuman

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEBELAS pasar basah di daerah Alor Setar yang menjadi tumpuan ramai disembur cecair pembasmi kuman setiap malam sebagai langkah untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Mohd Rizal Mohamad Radzi berkata, lantai semua pasar basah berkenaan disembur secara berjadual untuk memastikan kawasan itu bersih.

Beliau berkata, pasar terbabit adalah di Pasar Besar Alor Setar, Simpang Kuala, Kota Sarang Semut, Pasar Teluk Wanjah, Kubang Rotan dan Pokok Sena.

“Kita tak tahu pelanggan yang datang ke pasar mungkin ada yang dijangkiti atau sebaliknya menyebabkan kita mengambil langkah berjaga-jaga.

“Anggota kami daripada Bahagian Kawalan Penyakit dan Promosi Kesihatan MBAS akan melakukan semburan pada waktu malam dengan pakaian khas sebelum pelanggan datang pada waktu pagi untuk membeli barangan,” katanya ketika ditemui di pejabat MBAS selepas melakukan pembersihan di Pasar Besar Alor Setar, malam tadi.

Mohd Rizal berkata, operasi semburan itu dimulakan sejak 18 Mac lalu untuk memastikan persekitaran kawasan pasar itu bersih dan bebas kuman.

Beliau berkata, pihaknya juga turut memasang pita pelekat pada lantai sebagai penanda jarak 1 meter antara pelanggan dan peniaga.

“Kami di MBAS sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa Rabu minggu lalu.

“Selain itu, pemantauan anggota penguatkuasa di pasar basah setiap pagi turut dilakukan untuk memastikan orang ramai tidak berhimpun atau beredar selepas membeli barangan di situ,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 10:27am
    d