mutakhir

Tak jadi jual RM3.50 seunit

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 223,000 penutup hidung dan mulut tiga lapis bernilai RM446,000 dalam serbuan di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, penutup hidung dan mulut berkenaan disorok untuk dijual kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum ditetapkan.

“Operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat diterima daripada orang awam berkaitan penjualan penutup hidung danmulut yang melebihi harga maksimum kawalan menerusi Facebook.

“Suspek menggunakan laman sosial Facebook bagi mengiklan penjualan. Kaedah penjualan adalah melalui pesanan WhatsApp dan barang yang dibeli akan dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD) di kawasan Kota Damansara Petaling Jaya,” kata KPDNHEP dalam kenyataan, hari ini.

Iskandar berkata, tindakan suspek menjual penutup hidung dan mulut dengan harga melebihi yang ditetapkan itu boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, Iskandar berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 12:03pm
d