mutakhir

Insentif derma bantu tangani Covid-19

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengumumkan insentif potongan cukai kepada rakyat yang memberikan sumbangan ketika wabak Covid-19.

Bahagian Komunikasi LHDN dalam kenyataan hari ini berkata, insentif mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 itu akan diberikan kepada mereka mendermakan wang tunai atau barangan yang akan digunakan untuk menangani penularan dan membantu rakyat yang terkesan akibat wabak berkenaan.

“Insentif berkenaan bagi sumbangan tunai dan barangan kepada tabung Covid-19 (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan tabung Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri.

“Selain itu, sumbangan kepada institusi dan organisasi yang diluluskan mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, bagi sumbangan berbentuk peralatan atau barangan perlu mendapatkan surat akuterima sumbangan daripada penerima beserta cop rasmi mengikut format yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sebelum mengemukakan permohonan potongan cukai.

“Pembayar cukai yang menderma dinasihatkan menyimpan rekod transaksi sebagai bukti dan memastikan resit atau dokumen disimpan untuk rujukan ketika pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) 2020 dan semakan LHDNM,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan kesahihan organisasi di portal rasmi LHDNM http://www.hasil.gov.my sebelum membuat sebarang sumbangan bagi mengelakkan penipuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 12:18pm
    d