mutakhir

81 rakyat Malaysia dari Itali selamat tiba

Oleh Amir Abd Hamid

SERAMAI 34 penuntut Malaysia di Itali antara yang dibawa pulang selain lapan pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta keluarga mereka susulan penularan Covid-19 tahap teruk di negara berkenaan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, 81 rakyat Malaysia yang direpatriasi dari Itali itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, pada 10 pagi.

Menurutnya, mereka dibawa pulang ke tanah air dengan menaiki pesawat sewaan khas AirAsia yang turut membawa seramai 17 kru pesawat.

“Selain itu, pesawat ke Itali turut membawa tujuh penjawat awam iaitu masing-masing seorang daripada Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta lima petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setibanya di Malaysia, semua akan menjalani proses kuarantin di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan KKM.

“Misi repatriasi ini adalah hasil kerjasama rapat di antara Kementerian Luar Negeri, Nadma, KKM, Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta agensi lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang memberikan kerjasama dalam menjayakan misi kali ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 1:54pm
    d