mutakhir

Warga emas rogol cucu saudara dijel

Oleh Rafiqah Dahali

SEORANG warga emas dipenjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini selepas mengaku salah merogol cucu saudara bawah umur.

Tertuduh berusia 62 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Menurut kertas pertuduhan, lelaki itu melakukan perbuatan terkutuk itu tahun lalu ketika mangsa berusia 11 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Kota Belud.

Berdasarkan fakta kes, laporan polis hanya dibuat pada 13 Mac lalu selepas mangsa memberitahu kejadian itu kepada ibunya pada 12 Mac.

Mangsa memberitahu ibunya bahawa tertuduh merogolnya sekitar 2019 dan awal tahun ini. Mangsa juga berkata dia takut untuk tampil ke hadapan kerana takut dimarahi oleh yang tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Peguam Persekutuan Kanan, Khairul Annuar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon mahkamah untuk meringankan hukumannya kerana sudah tua dan sedar atas kesalahannya.

Bagaimanapun, Khairul memohon hukuman berat memandangkan tertuduh tidak menunjukkan sebarang penyesalan dan tidak menunjukkan sebarang hasrat untuk memohon maaf kepada mangsa dan keluarganya.

“Tertuduh mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa dan tindakannya adalah pengkhianatan kepada keluarga. Hukuman berat mesti dikenakan kerana ia juga menjadi tanggungjawab mahkamah untuk melindungi kanak-kanak,” tegasnya.

Stephanie kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 tahun bermula dari hari penangkapannya.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 4:57pm
d