mutakhir

Cubaan bawa masuk hasil pertanian gagal

Oleh Omar Ahmad

USAHA sebuah lori membawa masuk muatan barang dagangan pertanian dari Singapura digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, lori itu ditahan di laluan kargo import, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, 9 pagi semalam.

Katanya, pemeriksaan menemui 42 kotak kacang buncis, 21 kotak kangkung, empat kilogram (kg) daun salam, dua kg daun bawang kuning dan 45kg bawang putih.

“Kesemua keluaran pertanian itu bernilai RM2,037.16. Ia dirampas kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit.

“Pemandu lori terbabit direkodkan keterangan sebelum dilepaskan,” katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 5:38pm
d