mutakhir

OYO tawar bilik percuma kepada petugas kesihatan

Oleh Redzuan Muharam

OYO Hotels & Homes (OYO) menawarkan bilik percuma kepada petugas kesihatan yang merawat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Kumpur (HKL), Hospital Shah Alam dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, mulai hari ini hingga 14 April depan.

Tawaran itu boleh didapati di hotel Oyo cawangan Pekeliling, Kuala Lumpur, Taman Sri Muda, Shah Alam dan Seremban, Negeri Sembilan yang berada pada jarak lima kilometer dari hospital berkenaan.

Pemilihan hotel berdekatan tiga hospital berkenaan dibuat memandangkan terdapat ramai pesakit yang dirawat di situ.

Petugas hanya perlu mengemukakan kad kakitangan sebagai bukti sewaktu mendaftar masuk.

Ketua Negara Singapura dan Malaysia OYO, Tan Ming Luk berkata, pihaknya membuat tawaran itu bagi memenuhi permintaan tinggi di media sosial dan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta petugas kesihatan.

Beliau berkata, mereka mahukan bilik, pangsapuri dan rumah berhampiran hospital yang merawat pesakit Covid-19 di kawasan terbabit.

Katanya, sebagai penyedia perkhidmatan penting dan pemain utama industri pelancongan, OYO bertanggungjawab memastikan mereka yang memerlukan bilik penginapan yang bersih pada harga mampu milik mendapat akses kepada keperluan itu.

“Petugas kesihatan kita terutamanya mereka yang berada di barisan hadapan sudah menjalankan tugas tanpa mengenal penat lelah bagi menjaga pesakit Covid-19.

“Tatkala mereka bertungkus lumus menjaga orang lain, OYO dan rakan kongsi juga ingin menjaga mereka.

“Berdasarkan semangat itu, kami sudah menghubungi rakan kongsi kami bagi mengajak turut sama memainkan peranan untuk Malaysia di waktu yang paling mencabar ini dan mereka bersetuju,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berbangga kerana mempunyai rakan kongsi yang penyayang dan berterima kasih kerana pihak terbabit menyahut saranan itu dengan begitu pantas.

“Kami berharap penawaran bilik di hotel rakan kongsi OYO berhampiran hospital dapat meringankan sedikit beban petugas kesihatan. Ia bagi memastikan mereka mendapat akses kepada bilik penginapan yang bersih lagi mampu milik supaya boleh berehat serta memulihkan tenaga sebelum meneruskan rutin yang sangat mencabar.

“Petugas kesihatan kita terpaksa berdepan dengan tempoh kerja yang panjang akibat pandemik ini. Jadi kami berharap semoga dengan menawarkan bilik penginapan yang bersih berhampiran hospital, masa perjalanan dapat dikurangkan, terutamanya selepas syif yang memenatkan. “Aspek keselamatan dan kesejahteraan petugas kesihatan kita yang berulang-alik ke hospital perlu dititikberatkan dan OYO ingin memainkan peranan kami untuk memastikannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 5:51pm
    d