mutakhir

Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak diteruskan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan pihaknya tidak mengabaikan ibu hamil biarpun pihaknya sedang berdepan situasi wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang berkata, Perkhidmatan Kesihatan Ibu Hamil dan Anak adalah berjalan seperti biasa.

“Anggota kesihatan akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat.

“Bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, bolehlah mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan,” katanya dalam sidang media harian terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, ibu hamil diminta menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temujanji yang diberikan.

Katanya, perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa, dengan ibu bapa diminta mematuhi jadual imunisasi serta tarikh temujanji ditetapkan.

“KKM mengingatkan mengenai kepentingan mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin,” katanya.

Katanya, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi klinik kesihatan yang berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 5:56pm
    d