mutakhir

Solat hajat setiap malam Jumaat

Oleh Asrol Awang

UMAT Islam di Pahang diminta menunaikan solat hajat setiap malam Jumaat, bermula malam ini sehingga 14 April untuk menyelamatkan negara dari segala wabak dan bencana.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, solat hajat itu diharap dapat menyekat penularan wabak Covid-19.

“Sebagai umat Islam, di saat kita dilanda musibah Covid-19 ini sangatlah penting untuk memperbanyakkan zikrullah, selawat, istighfar dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah.

“Berdoa dengan penuh sifat keikhlasan, rendah diri, sabar dan bertawakal kepada Allah.

“Dengan ini saya menyeru diri saya serta seluruh umat Islam di Pahang yang saya cintai, marilah sama-sama kita bertaubat dari segala dosa, memohon keampunan kepada Allah serta menzahirkan kebergantungan kita kepada Allah,” titah baginda dalam kenyataan media, di Kuantan, hari ini.

Sehubungan itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Rresam Melayu Pahang (MUIP) berdoa semoga usaha yang bakal laksanakan dapat diterima Allah.

“Semoga mendapat rahmat, kasih sayangNya dan diselamatkan kita semua daripada segala wabak dan bencana,” titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 6:36pm
    d