mutakhir

3,468 rakyat Malaysia terkandas di 61 negara [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

KEMENTERIAN Luar memaklumkan, 3,468 rakyat Malaysia masih terkandas di 61 negara.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Wisma Putra menerima maklumat ramai rakyat Malaysia terkandas dan kerajaan sedang berusaha membawa mereka pulang.

“Jumlah ini semakin tinggi dengan peningkatan ketara rakyat Malaysia yang mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Chennai, India sebagai mereka yang terkandas. Wisma Putra sedang berusaha gigih untuk menyelesaikan keadaan ini dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa mereka pulang.

“Ingin saya tekankan sekali lagi, yang terkandas ini merujuk kepada rakyat Malaysia yang kebetulan berada di luar negara atas urusan kerja, keluarga dan bercuti. Mereka mempunyai tiket untuk pulang ke Malaysia tetapi tidak dapat pulang kerana halangan perjalanan atau syarikat penerbangan membatalkan penerbangan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian di Putrajaya hari ini ketika berkongsi perkembangan terkini proses repatriasi rakyat Malaysia di luar negara.

Menurutnya, Brunei bersetuju membenarkan sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir menaiki pesawat mereka dari Mesir ke Brunei selaras dengan misi repatriasi rakyat mereka yang dijadualkan esok.

“Bagi memastikan perkara ini berjalan lancar, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sedang berkomunikasi rapat dengan Kedutaan Besar Brunei di Kaherah mengenai pelan repatriasi ini.

“Sehingga kini, seramai 86 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Kaherah namun disebabkan kapasiti penerbangan kerajaan Brunei yang terhad, hanya 51 rakyat Malaysia dibolehkan menaiki penerbangan itu.

“Dalam hal ini, keutamaan diberikan kepada warga emas dan pelancong rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air.

“Wisma Putra sedang giat mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses selanjutnya bagi rakyat Malaysia setibanya mereka di Brunei,” katanya, penerbangan itu dijangka tiba di Bandar Seri Begawan pada 8.40 pagi, Ahad.


Katanya, semua perwakilan Malaysia di luar negara diarahkan membuat penilaian situasi krisis wabak berkenaan di negara berkenaan.

“Ini termasuk risiko sama ada terdapat keperluan untuk pulang ke Malaysia atau sebaliknya. Perkara ini harus dimaklumkan kepada rakyat Malaysia di luar negara oleh semua perwakilan Malaysia setiap hari,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 2:15pm
    d