mutakhir

Bumbung terbang satu persatu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

HAMPIR 50 rumah di enam kampung di Jerlun mengalami kerosakan apabila bumbung diterbangkan ribut, semalam.

Dalam kejadian 6.20 petang, kesemua penduduk berada dalam rumah masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Pida 3, Kampung Pida 7, Kampung Pida 8, Kampung Lana Bulu, Kampung Golok Puting dan Kampung Bogor.

Penduduk Kampung Lana Bulu, Muhamad Shafiq Abu Khosim, 26, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat bersama isteri Zirwatul Hanani Hasnul Adid, 26, yang sedang hamil lapan bulan di rumah mereka.

Katanya, hujan lebat bermula 5 petang dengan disertai angin kencang sebelum mereka terdengar bunyi bumbung diterbangkan angin satu persatu.

“Ketika itu saya tak tahu nak buat apa melainkan membawa isteri lari ke dalam bilik kerana bimbang berlaku kejadian buruk.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana terselamat walaupun keadaan rumah jiran bersebelahan lebih teruk dengan bumbung berselerak di merata tempat, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Shafiq berkata, kejadian ribut berlaku kira-kira 10 minit itu merosakkan banyak bumbung rumah di kampung itu.

Katanya, dia bersama penduduk lain kini buntuk untuk membaiki kerosakan berkenaan berikutan banyak kedai ditutup sejak PKP dilaksanakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Kami nak baiki sendiri pun tak boleh sebab nak beli barang ganti banyak kedai yang tutup, dan saya terpaksa menumpang rumah mentua malam tadi.

“Kami amat mengharapkan bantuan supaya rumah kami dapat dibaiki semula untuk kami berteduh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamaruzamal Kasa berkata, pihaknya masih melakukan bancian untuk mengenal pasti penduduk yang terjejas bagi menyalurkan bantuan.

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 4:16pm
d