mutakhir

UMK hasilkan PPE, set pelindung muka

Oleh BERNAMA

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menghasilkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) termasuk set pelindung muka khusus untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Dekan Fakulti Teknologi dan Warisan (FTKW) UMK Dr Hanisa Hassan yang mengetuai pasukan berkenaan berkata pelaksanaan Projek ‘Personal Protective Equiment COVID-19’ (PPE COVID-19) adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMK dalam membantu para petugas kesihatan.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 300 set PPE dan 500 set pelindung muka dihasilkan dalam tempoh terdekat dengan bahan-bahan keperluan ini didermakan oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Negeri Kelantan (MAIK).

“Ia akan diagihkan kepada doktor perubatan, jururawat, kakitangan kesihatan dan anggota keselamatan sebagai sokongan perlindungan dalam mengekang wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanisa berkata projek berkenaan merupakan kerjasama UMK menerusi FKTW, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) serta MAIK.

Beliau berkata FTKW sentiasa bersedia untuk menawarkan pengetahuan dan kepakaran termasuklah kelengkapan teknologi mesin yang digunakan dalam program pengkhususan bidang tekstil.

“Walaupun kami tidak dapat menyumbang dari segi perubatan namun, paling tidak, melalui kepakaran menjahit dan penghasilan produk yang ada ini, kami berharap ia dapat membantu petugas barisan hadapan untuk meneruskan tugas mereka.

“Tidak dinafikan terdapat kekangan untuk membuat persiapan PPE kerana pihak kami kekurangan tenaga kerja, namun dengan adanya 15 sukarelawan staf FTKW sedikit sebanyak dapat membantu menyiapkan projek ini,” katanya.

Hanisa berkata konsep reka bentuk produk PPE dan set perlindungan muka yang dihasilkan UMK mungkin berbeza sedikit dengan produk yang sedia ada di pasaran.

“Kelebihan set pelindung muka yang dihasilkan kami adalah ia boleh diguna semula dengan hanya perlu dicuci berbanding produk di pasaran iaitu jenis pakai buang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 5:54pm
    d