mutakhir

Kesian nasibmu tauke sate [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

SEORANG pengusaha sate bingung akan nasib 11 pekerjanya yang hilang punca pendapatan susulan pembatalan tempahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Sharif Sariu, 63, yang menjalankan perniagaan itu sejak 23 tahun lalu berkata, terdapat 25,000 cucuk sate ayam dan daging mentah yang dibekukan dan mahu dijual ketika PKP diumumkan.

"Saya memang buat sate lebih untuk 'standby' sebab setiap hari mesti ada tempahan selain jualan di pasar malam. Sate ayam dibuat empat kali seminggu membabitkan jumlah lebih 8,000 cucuk manakala sate daging berjumlah 9,000 cucuk.

"Tetapi bila jadi begini, saya dah tak boleh buat apa. Malah tempahan 10,000 cucuk sate ayam untuk kenduri kahwin turut dibatalkan. saya tak ambil deposit sebab saya mengenali pelanggan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Belimbing, Meru, Klang tadi.

Sharif atau lebih dikenali panggilan Wak Arif berkata, sate yang diproses pada 13 Mac itu sepatutnya habis dijual 21 Mac lalu seperti tempoh yang disasarkan sebelum ini.

"Ini sudah masuk dua minggu pekerja tiada kerja dan gaji, kena habiskan stok di dalam bilik sejuk beku, baru mereka boleh bekerja semula.

“Masih terdapat baki 17,000 cucuk sate belum terjual. Seramai enam pekerja wanita ditugaskan mencucuk sate serta memotong daging dan mereka bekerja untuk menampung ekonomi keluarga,” katanya.

Wak Arif berkata, dia berniaga untuk membantu penduduk kampung yang kurang berkemampuan dengan menawarkan pekerjaan.

“Mujur ada jiran, Amir Asyraf Zamri, 31, yang sudi membantu mempromosikan sate menerusi media sosial,” katanya.

Sementara itu, Amir melahirkan rasa syukur apabila dapat membantu Sharif menjual baki sate itu.

“Kami menerima 18 hingga 20 tempahan dan paling banyak 1,200 cucuk sate disumbangkan kepada barisan hadapan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) semalam.

"Saya tolong Wak Arif sepanjang PKP sahaja, bila keadaan pulih, Wak akan urus sendiri sebab saya juga mempunyai pekerjaan tetap di Kuala Lumpur," katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 6:58pm
d