mutakhir

Pakej bantuan terbaik sepanjang karier - Azlan Man

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

MENTERI Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menyifatkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan hari ini adalah pakej terbaik pernah diumum kerajaan sepanjang kariernya.

Katanya, pakej itu sangat menyeluruh dan tidak mengabaikan mana-mana pihak, malah penerangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang santai sekali gus mudah difahami rakyat.

“Semuanya dapat manfaat dan tiada pun yang terkecuali. ‘Where else in the world, I’ve never seen this kind of assistance’ (tidak pernah lagi saya lihat bantuan begini di mana-mana pun).

“Saya rasa ini adalah bantuan terbaik yang saya pernah dengar dan bagi saya sendiri ini adalah kali pertama,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Azlan yakin Prihatin mampu memberikan rangsangan ekonomi kepada rakyat berikutan kesan wabak Covid-19.

“Jumlah bantuan sebanyak RM250 bilion itu sudah hampir menyamai perbelanjaan negara kita untuk setahun,” katanya.

Sementara itu, Azlan turut mengumumkan tambahan insentif buat barisan hadapan di Perlis dengan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima RM400, manakala RM200 kepada petugas agensi keselamatan seperti polis, Rela dan tentera.

“Manakala sebanyak 35,000 keluarga di negeri itu akan menerima bantuan RM100 dalam bentuk makanan asas dan wang insentif sebanyak RM50 kepada bayi yang berusia di bawah tiga tahun, selain RM100 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di Perlis.

“Sepanjang April juga, sebanyak 20 meter padu air pertama akan diberikan percuma kepada setiap pengguna berdaftar di bawah Syarikat Air Perlis (SAP),” katanya.

Menurutnya, rakyat boleh merujuk kepada pusat khidmat DUN masing-masing bagi menerima bantuan berkenaan.

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 8:17pm
d