mutakhir

KKM tubuh jawatankuasa audit kematian Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menjalankan audit terhadap kematian pesakit Covid-19 di hospital.

Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Semakan Kematian Covid-19 Kebangsaan itu ditubuhkan semalam selepas keputusan Mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, melalui jawatankuasa itu setiap butiran pengurusan dan rawatan yang sudah diberikan kepada setiap kes kematian Covid-19 akan diteliti pakar yang berkenaan.

“Hasil analisa ke atas maklumat ini diharap dapat membantu di dalam pengurusan pesakit Covid-19.

“Jawatankuasa ini akan diketuai pakar perunding penyakit berjangkit dan mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Christopher Lee,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian dalam status Facebook beliau hari ini.

Menurutnya, Dr Christopher akan dibantu oleh ahli daripada pakar pelbagai disiplin yang berkaitan.

Beliau berkata, cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan bertindak sebagai Sekretariat Teknikal bagi Jawatankuasa Audit Kematian Covid-19 itu.

“Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Datuk Dr Chris (Dr Christopher) yang sudi membantu walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan awam Januari lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 8:37am
    d