mutakhir

Wanita muat naik status hina polis ditahan [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TINDAKAN seorang wanita berusia 20 tahun memuat naik status menghina polis di media sosial, Facebook mengundang padah apabila dia dicekup polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu ditahan 11.30 malam tadi di rumahnya di kawasan Pendang.

Beliau berkata, wanita itu dikatakan marah selepas polis menasihatinya supaya pulang ke rumah ketika anggota terbabit sedang bertugas melakukan pemantauan Ops Covid-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, 9 malam tadi.

“Tangkapan terhadap wanita itu dilakukan berikutan maklumat yang diterima dari seorang pengadu yang memaklumkan menerima maklumat dari aplikasi WhatsApp dari rakannya 10.12 malam tadi.

“Rakannya memberitahu ada status bergambar yang dimuat naik dari Facebook pemilik bernama Sahira Eyraa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek ditahan untuk membantu siasatan dan direman selama dua hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Naquiah Mohd Jamel di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ini adalah kes keempat membabitkan tangkapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 11:40am
d